SITUASI SEMASA INFLUENZA A (H1N1) Bagi Minggu ke 51 tahun 2009 (20 – 26 Dis 2009)
Kes Kematian : Tiada
Jumlah Kematian : 77
Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mengingatkan masyarakat bahawa Influenza A (H1N1) masih aktif di Malaysia, begitu juga diperingkat global, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) masih lagi mengekalkan tahap pandemic alert pada fasa 6, tahap tertinggi yang telah diisthiyarkan sejak 11 Jun 2009. Di Malaysia secara purata, setiap hari 4 hingga 5 kes baru Influenza A(H1N1) dikesan. Justeru, orang awam dinasihatkan untuk terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan H1N1 terutamanya mereka-mereka yang bersimptom.
Memandangkan pelajar-pelajar akan kembali ke sekolah dan institusi pengajian tinggi mulai minggu hadapan, Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mengingatkan ibubapa dan masyarakat agar berwaspada dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan H1N1 yang telahpun terbukti berkesan. Guru-guru dan ibubapa haruslah memastikan pelajar-pelajar sentiasa berada dalam keadaan sihat. Ibubapa dan guru-guru perlu memantau tahap kesihatan pelajar semasa mereka berada di rumah dan sekolah. Sekiranya pelajar-pelajar mengalami tanda-tanda Influenza A(H1N1), mereka perlu dirujuk untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan segera. |